Ahad, Februari 28, 2010

CERITA KENDURI

Tadi Bid ada idea macam-macam nak cerita, tapi internet dah meragam pulak. Ni dah dekat tengah malam baru la ada balik. Mungkin kerana hujan lebat tadi agaknya. Tetapi Bid dah hilang idea pulak ... hehehe

Bid nak cerita pasal kenduri sajalah. Kenduri ni adalah kenduri kahwin sempena bulan Maulidur Rasul katanya. Majlis makan adalah siang tadi. Memang kenduri tu meriah.

Cuma rasa macam mencemar Maulidur Rasul sebab malam ni ada joget lambak pulak! Kata Abang Bid yang baru saja balik dari sana, joget lambak tu memang meriah sekali. Banyak orang tunggu sampai habis sebab upacara begini jarang-jarang ada. Tapi Bid terfikir, berkat ke nanti mempelai tu?

Jumaat, Februari 26, 2010

SALAM MAULIDUR RASUL


Kita melihat pemimpin negara selalunya teruja mengadakan perarakan Maulidur Rasul. Mungkin itu sudah termasuk dalam agenda tetap negara setiap tahun.

Bid juga turut meraikan hari keputeraan Nabi Muhammad SAW dengan cara Bid sendiri. Bukan buat apa sangat. Hari ini, Bid sekeluarga sekadar membuat pulut kuning dengan rendang, meehoon goreng dan puding sagu dan mengajak jiran sebelah-sebelah rumah untuk membaca doa selamat dan berselawat Nabi tadi pagi. Kira sebagai majlis kesyukuran juga.

Di hari ini, Bid ucapkan juga Salam Maulidur Rasul kepada kawan-kawan di Maya serta seluruh umat Islam di Malaysia. Semoga juga semua melakukan sesuatu yang baik sebagai menghormati dan menunjukkan tanda kasih kita kepada Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad SAW, sempena hari kelahiran baginda hari ini. Rasanya tentu lebih baik jika kita dapat lebihkan amalan berselawat selain dari berzikir dan melakukan ibadah sunat.

Sabtu, Februari 20, 2010

ALANG SUDAH BERSETUJU

Pagi ini Alang memberitahu emak bahawa dia bersetuju untuk dijodohkan dengan pilihan keluarga. Jelas sekali emak amat gembira.

Sejak pulang dari bercuti, Alang telah meminta pandangan Bid, kakak dan Along mengenai calon suami yang disyorkan semasa balik Melaka tempuhari. Calon ini kiranya adalah ciri-ciri suami yang serba sederhana; nampak baik, ada rupa juga dan bekerja tetap dengan kerajaan (kumpulan B).

Sebenarnya calon berkenaan ada pertalian keluarga juga, tapi agak jauh. Kita orang semua pernah bertemunya beberapa kali. Bila bertemu lagi terakhir ini, beliau telah menyatakan hasrat kepada kedua ibu bapanya untuk memperisterikan Alang jika Alang masih belum terikat dengan sesiapa. Kedua ibu bapanya pun terus saja memanjangkan kepada emak dan ahli keluarga terdekat yang lain. Beliau pula memberi cenderahati berserta nota pendek kepada Alang. Semua bersetuju untuk memberi masa hingga cuti sekolah yang akan datang ini untuk melangsungkan pertunangan jika Alang tiada halangan.

Kata Alang dia menyerahkan kepada takdir, dan mendoakan yang terbaik. Katanya nak menunggu pun belum tentu dia akan berjumpa orang yang lebih baik. Sekarang Alang pun dah berusia 25 tahun lebih, dan emak amat risau juga takut Alang menjadi andartu ..... :)

Pada emak semua harus diambil kira. Katanya Bid dan kakak pun harus mula serius memikir tentang jodoh ..... kahkah! Walhal Bid baru akan masuk 20 tahun pada bulan September nanti, sementara kakak pula hanya dua tahun lebih tua dari Bid. Tetapi kakak kata dia mungkin menerima teman kuliahnya yang dia rasa agak istimewa orangnya dan menyayanginya.

Khamis, Februari 18, 2010

MALASAN DI RUMAH PULAK

Bid bersama emak dan kakak-kakak Bid dah balik ke rumah. Kita orang baru saja selesai makan tengahari. Tadi kita orang lewat sedikit bertolak dari rumah ibu saudara dari Melaka sana kerana tayar teksi yang disewa itu pula terkena paku. Jadi sampai di rumah pun lambatlah. Ini pun, makan nasi dengan lauk telur dan sardin saja. Tetapi bila dah lapar tu, apa-apa pun sedap.

Sekarang dah kekenyangan, rasa malaslah pula. Nak tidur pun tak selesa juga kerana rumah agak berantakan kerana dah hampir seminggu ditinggalkan dengan abang-abang Bid. Emak suruh terus berkemas, tapi kita orang semua memberi alasan kepenatan.

Jadi ni tengah duduk malasan sajalah di rumah. Walaupun dah melepak semasa bercuti ke kampung emak, masih belum puas juga. Hehe ... biasalah kan? Sementara emak belum naik angin, kita bermalasanlah sekejap. :)

Jumaat, Februari 12, 2010

UCAPAN SELAMAT TAHUN BARU

Sempena sambutan Tahun Baru Cina, tahun harimau, pada hari minggu nanti, Bid nak ucapkan Selamat Hari Raya Cina . Semoga tahun ini membawa erti dan rezeki yang lebih baik dari tahun yang dahulu.

Rasanya semua orang mengambil cuti panjang. Kalau tak ke mana-mana pun, mungkin menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga sendiri. Bid dan dua kakak Bid akan ikut emak balik ke kampung di Melaka untuk menziarahi bapa saudaranya yang sedang agak uzur kerana sakit tua. Kata emak mungkin kita semua akan berada di sana selama dua atau tiga hari.

Selamat bercuti ya. Berhati-hati di dalam semua urusan. Insya Allah, bertemu lagi selepas cuti panjang ini nanti.

Khamis, Februari 11, 2010

LEBIH TIGA HARI YANG AMAT SIBUK


Petang ni barulah dapat bernafas sikit. Dari petang hari Isnin sampai sekejap tadi, tiba-tiba saja semua staf terpaksa kerja sampai lebih masa. Semua orang terpaksa saling membantu menyiapkan segala kerja. Bos pula berjanji akan memberi wang lebih masa tambahan sebanyak RM 150 tiap seorang. Harap-harap beliau memegang pada janji itu, jadi adalah wang lebihan nanti :)

Sementara berehat ni Bid masuklah ke Maya .. relaks-relaks malasan sekejap. Tapi tak ada cerita lain nak dipaparkan la pulak ..

Isnin, Februari 08, 2010

TEMAN ISTIMEWA

Dua tiga hari lepas ni, Bid jadi keliru. Emak asyik marah-marah semua kita orang adik beradik terutamanya Along, Angah dan Alang. Ada-ada saja tak kena. Bila ditanya apa masaalah sebenarnya tak nak pula beritahu.

Baru sekejap tadi barulah jelas sebab utamanya. Rupanya emak risau kerana tiada siapa lagi dari kalangan kita orang adik beradik yang sudah berumur 20 tahun atau lebih ni yang dah kahwin. Along, Angah dan Alang (berumur 27, 25 dan 24 tahun) masing-masing belum mempunyai teman istimewa yang boleh dijadikan calon pasangan hidup. Kakak dan Bid pun tentulah belum mempunyai teman istimewa juga.

Along kata beliau tak nak ada teman istimewa sekarang. Angah tidak berminat juga lagi kerana beliau mahu cuba mencari pekerjaan yang lebih baik dahulu. Sementara Alang telah putus kasih tahun lepas, dan masih belum bertemu penggantinya. Kakak pula ada memberitahu Bid yang dia baru saja mengenali seseorang yang mula rapat dengannya. Tapi katanya ia masih terlalu awal untuk membuat komitmen kerana mereka baru saling cuba memahami hati budi masing-masing.

Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Jadi kita orang beritahu emak supaya terus bersabar saja. Bila tiba jodoh tu kahwinlah.

Khamis, Februari 04, 2010

UPACARA TAHLIL DAN BACA YASSIN

Malam ni ada majlis membaca Surah Yassin beramai-ramai. Semua penduduk baru diberitahu semalam sebenarnya. Katanya sempena upacara tahlil kerana salah seorang penduduk telah meninggal dunia.

Ada juga yang merungut kerana penduduk diminta untuk membawa sumbangan juadah. Pihak pengajur akan hanya menyediakan teh tarik dan air sirap.

Biasanya penduduk hanya disyorkan untuk menyumbang. Tetapi malam ni semua diminta untuk menyumbang pula. Mungkin juga ini kerana keluarga arwah tidak mempunyai cukup wang untuk menyediakan makanan.

Apapun Bid tidak ikut pergi ke upacara malam ini. Selalu pun begitu. Ia lebih khusus kepada kaum ibu bapa dan jemaah lelaki sahaja. Tapi tadi, Bid kenalah juga bergegas balik untuk membantu mak menyediakan kuah sos cili dan menggoreng tauhu kerana mak buat tauhu sumbat.

Isnin, Februari 01, 2010

TAK BOLEH PILIH KERJA

Bagi warga Felda memang tak banyak sangat pilihan kerja. Biasanya, ibu bapa menoreh atau mengusahakan hasil tanaman. Ada juga yang sudah diambil aleh oleh anak-anak mereka. Tetapi, kebanyakan mereka ini terdiri dari mereka yang tak mempunyai kelulusan akademik.

Anak-anak Felda harus keluar kerja ke pekan atau bandar terdekat jika mahu kerja lebih baik dengan pendapatan yang menjanjikan masa depan yang lebih baik juga. Tapi mesti terlebih dahulu mempunyai kelulusan akademik minima SPM yang baik.

Jika tak mahu pergi kerja jauh-jauh, adalah beberapa-beberapa jawatan rendah di sekolah dan di gedung-gedung perniagaan. Kira kerja yang setaraf kerani atau pembantu rendah macam pekerjaan Bid ni. Tetapi jika tak memilih sangat kerja, memang masih ada kerja.