Rabu, Mac 31, 2010

AKIBAT TRAUMA

Bid baca berita tentang anggota tentera yang sakit mental setelah didera. Memang ada banyak lagi peristiwa seperti ini. Apapun, Bid petik sebahagian berita berkenaan di bawah:

PEKAN: Seorang bapa mendakwa anaknya yang bekerja sebagai anggota tentera darat di bahagian kejuruteraan di sebuah kem di Kuala Lumpur mengalami masalah mental akibat dipukul pegawainya kerana tidak hadir bertugas selama setahun.

..... kini terpaksa menjalani rawatan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan.

Kejadian dera itu dikatakan berlaku tahun ... Ketika dalam perjalanan ke Balai Polis Kuala Kurau ... dipukul di bahagian kepala dengan kuat menyebabkan pendarahan yang banyak ... dipukul sepanjang perjalanan itu oleh seorang pegawai tentera berpangkat Kapten ... menjadi tidak waras dan pada awal tahun ini, dia dihantar ke Klinik Psikiatri dan Kesihatan Mental di Kuala Lumpur yang kemudiannya disahkan mengalami masalah mental.

...Walaupun disahkan ... mengalami masalah mental, dia tetap dibicarakan di Mahkamah Tentera dan telah dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan pada 5 Mac lalu.

... beberapa hari dijatuhi hukuman ... dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur kerana dipercayai diberi makan ubat terlebih dos.

Banyak lagi kes-kes seperti ini yang Bid pernah dengar. Bid teringat di kampung dulu ada keluarga yang masuk askar. Beliau tidak meneruskan tugas kerana tidak tahan didera, dan lari balik bersembunyi di kampung datuknya pula. Tetapi tetap juga dapat dikesan. Sampai sekarang dia memang ada masaalah mental.

Ternyata sesuatu deraan akan menjadi suatu trauma. Semakin teruk deraan, mungkin semakin teruk trauma itu.

Isnin, Mac 29, 2010

TAK ADA KUASA LETRIK


Sejak tengahari bekalan letrik di ofis terputus. Katanya ada pokok tumbang akibat hujan semalam. Tapi semasa pagi itu ada pula letrik. Pelek juga alasan tu.

Kelam kabut kita orang dibuatnya. Yang paling teruk ialah cuaca pula amat panas. Macam kena bahang api rasanya.

Generator spare pula tak dapat dihidupkan. Mula mereka kata kehabisan minyak. Selepas dah pergi beli dan masukkan minyak pun, tak juga boleh dihidupkan. Budak pejabat membawa pergi ke kedai untuk mengetahui kenapa terjadi begitu dan baiki. Sampai habis waktu pejabat pun dia tak balik lagi.

Bos pula mengamuk. Habis cari pasal dengan kaki-tangan. Ada-ada saja orang itu dan orang ini tak kena. Mahu tak mahu, kena dengar sajalah leteran beliau.

Sabtu, Mac 27, 2010

KAKAK BERTUNANG

Hari ini kakak Bid yang pertama, Alang, resmi bertunang dengan jejaka kenalan keluarga di kampung sebelah Mak. Majlis baru saja selesai sekejap tadi.

Semua orang nampak gembira. Tentulah Alang dan tunangnya yang paling gembira. Mereka nampak sepadan. Sayangnya Alang tak izinkan gambar-gambarnya dan majlis pertunangan ini disibarkan ke mana-mana. Alang dah buat Bid berjanji sejak semalam lagi. Nak buat macam mana!

Apapun, Bid nak ceritasikit tentang hantaran dan syarat-syarat yang berkaitan. Mak dan Along bersetuju untuk meminta hantaran sebanyak RM 8,000 sahaja dengan sebentuk cincin berlian dan mas kahwin sebanyak RM 80. Agaknya berdoakan kepada keberuntungan seperti kepercayaan orang Cina. Semua yang lain akur saja.

Insya Allah, majlis akad nikah dan persandingan akan diadakan pada hujung tahun nanti. Tarikh sebenar belum ditetapkan. Tetapi besar kemungkinan ia akan diadakan pada bulan December.

Selasa, Mac 23, 2010

UCAPAN DAN TITAH

Banyak hari juga Bid duduk fikir samaada nak buat entry mengenai perkara ini. Selagi difikir selagi Bid rasa keliru dan tertanya-tanya sendiri. Jadi lebih baiklah Bid tanya di Maya saja. Mungkin ada yang dapat memberi penjelasan.

Isunya ialah tentang ucapan dan titah para pembesar negara di acara-acara tertentu. Bukan apa, Bid cuma pelik saja kenapa dalam sesuatu ucapan atau titah tu ada pujian berlebih-lebihan untuk pemerintah atau pemimpin tertentu. Kekadang perkara yang diucapkan tu pun tidak ada kaitan dengan acara yang sedang dilancarkan atau sedang berjalan.

Bid ada dengar dari beberapa saluran. Katanya apabila seseorang kenamaan nak meresmikan apa-apa acara, penganjur atau pegawai-pegawai kerajaan tertentu yang membuat ucapan untuk beliau berikan diupacara itu.

Inilah yang Bid rasa musykil. Sepatutnya ucapan itu padat dan ringkas mengenai acara berkenaan. Kenapa harus puji berlebihan kepada parti atau pemimpin tertentu? Pelek, sungguh pelek!!!

Khamis, Mac 18, 2010

KATA HATI, "KERANA KASIH AKU IKUTKAN"


Bid lihat sejak kebelakangan ni banyak pula cerita dan berita pasal budak perempuan Malaysia yang lari dengan pemuda Lombok. Selepas dah lari, bernikah dan duduk di Lombok dengan segala keperitan hidup, barulah rasa amat susah. Lama-lama mereka sudah tak tahan. Akhirnya, mereka pun diselamatkan oleh keluarga di Malaysia dengan bantuan pelbagai pihak.

Hebat juga jalan cerita ini ya. Mereka-mereka yang perempuan ni mula-mula mengikut kata hati iaitu "kerana kasih aku ikutkan" nampaknya. Rupanya cinta buta tu pada masa mula saja. Lepas tu cinta celek juga rupanya.

Esok-esok boleh jadi trend pula. Susah sangat nak dapat lelaki Malaysia, carilah saja jejaka Indon, Bangla ke India. Mereka-mereka ni pun memang mat jiwang juga, pandai memujuk sampai mahu pula si perempuan tu ikut.

Bid dan kakak pun pernah juga dingorat oleh jejaka Indon dan Bangla. Nasib baik juga Bid dan kakak takut bila mereka mula menghampiri dengan segala pujuk rayu tu. Sebaliknya, Bid dan kakak cepat-cepat lari naik bas untuk balik rumah. Kakak Bid suruh baca ayat-ayat Al Quran. Alhamdulillah, selamat.

Selasa, Mac 16, 2010

NIKAH BERWALIKAN AYAH ANGKAT?

Hari ini Bid dapat cuti sakit kerana sakit perut. Kata doktor, Bid keracunan makanan. Agaknya kerana gulai masak lemak daging salai yang Bid makan semalam itu. Rasanya seperti sudah nak basi, tapi Bid habiskan juga.

Apapun, bagus juga dapat berehat sehari di rumah. Kebetulan kakak pun sedang bercuti dan duduk lepak-lepak saja di rumah.

Sebenarnya Bid nak ceritakan satu isu yang Bid dengar dalam cerita di TV3 sebentar tadi, iaitu dalam drama bersiri "Tasbih Cinta." Jalan ceritanya tadi ialah pasangan berkenaan akan dinikahkan, dan nenek kepada bakal pengantin perempuan meminta ayah angkat menjadi wali kerana beliau telah memelihara cucunya dari kecil lagi. Biar betul!

Indonesia ni pakai hukum mana ya? Jelasnya, setahu Bid, itu bukan Islam. Mana ada hukum syarak yang membenarkan ayah angkat menjadi wali? Malah, setahu Bid juga, jika pernikahan sedemikian berlaku, hukumnya adalah pernikahan itu tidak sah.

Sabtu, Mac 13, 2010

SUSAH JUGA

Mulai Selasa kelmarin, kita orang kena buat kerja tambahan kerana ada tugasan baru sedangkan kakitangannya belum ada lagi. Bos janji akan memberi ganjaran 10% daripada gaji asas sehingga jawatan berkenaan diisi.

Jadi tak ada ruang berehat selain dari waktu makan. Itu pun kita orang semua kena berkejar-kejar kerana nak solat zohor lagi. Oleh sebab itu Bid tak dapat la nak buat N3 baru atau pun ziarah2 ke. Balik rumah lagi la tak boleh nak buat sebab netbook tu cuma ada masa kakak balik rumah je.

Nasib la, sebab nak beli sendiri pun mahal juga tu dan tiap-tiap bulan bayar pun mahal juga. Hati memang hendak, tapi nanti Mak mesti mengamuk sebab masih ada banyak lagi keperluan lain. Mahu tak mahu sabar jer ......

Isnin, Mac 08, 2010

BARU TAHU 'JAWI'

Selama ini Bid ingatkan perkataan 'Jawi' hanya bermaksud tulisan menggunakan huruf-huruf jawi. Hari ini baru Bid tahu rupanya ada lagi makna dan maksud lain. Kebetulan wakil pembekal peralatan pejabat tadi menceritakannya kepada Bid dan staf-staf lain semasa beliau menghantar stok.

'Jawi' yang bermaksud tulisan menggunakan huruf-huruf jawi memanglah tulisan dari pengaruh Islam, dan berasal dari tulisan Arab. Seingat Bid penulisan Jawi dah lama wujud di Nusantara kita. Malah Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara kita juga tertulis dalam abjad Jawi.

Kita sering juga melihat tulisan Jawi ini. Antara perkataan dan kalimah yang amat popular serta sering kita tulis dan baca dalam Jawi = Arab ialah:

'Jawi' juga ialah sebuah bandar kecil di Pulau Pinang. Pekan kecil ini terletak berhampiran pekan Nibong Tebal dan pekan Sungai Bakap di kawasan Parlimen Nibong Tebal, Seberang Perai.

Satu lagi makna 'Jawi' ialah kumpulan orang-orang Pulau Pinang dari keturunan kahwin campur India dan Melayu. Mereka ini juga dikenali sebagai golongan Mamak.

Disamping itu ada juga warga golongan 'Jawi Peranakan' yang merujuk kepada golongan elit Muslim dari keturunan campuran warga Asia Selatan dan warga berketurunan Melayu kelas atasan. Warga Asia Selatan adalah berasal dari wilayah India Utara dan Pakistan. Kebanyakan mereka adalah dari puak Punjabi dan Gujerati. Mereka mengahwini perempuan Melayu tempatan dan keturunan mereka inilah yang dikenali sebagai Jawi Peranakan.

Jawi adalah perkataan Arab bagi wilayah Asia Tenggara. Peranakan pula diertikan sebagai hasil kelahiran. Maka lahirlah Jawi Peranakan itu. Di Pulau Pinang mereka dikenali sebagai 'Jawi Pekan.'

Kebanyakan mereka tinggal di Pulau Pinang dan Singapura. Mereka juga dikenali sebagai golongan elit yang kaya raya. Tapi katanya sekarang ini bilangan mereka sudah tidak begitu ramai.

Jumaat, Mac 05, 2010

KESAN IKLAN

Nasib baik juga kakak Bid balik bercuti hari minggu awal. Dapat juga Bid pinjam guna laptop kakak tu. Tadi Bid tak sempat nak buat entry tentang cerita Bid termakan propaganda iklan.

Tengahari tadi Bid dan kawan singgah makan pizza di Pizzahut. Bukan apa, kami dah seminggu teruja nak makan set pizza saiz personal yang katanya ada tambahan keju, tapi harganya masih sama.

Jenuh berpanas kerana cuaca agak terik juga. Tapi dik kerana keinginan nak makan tu dah sampai ke kemuncak, kita orang redah juga.

Sampai saja di Pizzahut, kita terus mengambil tempat dan buat order. Bila dah dapat makanan yang dipesan, rupanya tak ada beza benar pun. Lebihan keju tu tak nampak dan tak terasa pun.

Itulah bahananya bila kita termakan dengan tarikan promosi yang intensif. Iklan Pizzahut ternyata berkesan. Mana tidaknya, hari-hari kita disajikan dengan iklan di media akhbar dan TV serta juga 'flyers' yang diedarkan.

Selasa, Mac 02, 2010

'WAKIL RAKYAT BERKARAT!'

Ini kira macam slogan ala-ala '1Malaysia' juga agaknya. Sejak dua menjak ni, Bid asyik dengar slogan 'Wakil Rakyat Berkarat' di sana sini, diucapkan gaya-gaya berseloroh gitu.

Mungkin kerana akhir-akhir ini ada beberapa kerat wakil rakyat yang berlompat, melompat dan terlompat :) ..... pun sebahagian dari gaya berseloroh. Yang satu kata begini, yang lain kata begitu ..... buat kita bingung saja!

Apapun, Bid sendiri rasa tidak percaya kepada mereka yang melompat sana sini macam katak tu. Biasanya katak tu akan hanya melompat keluar dari tempat duduknya yang sedia ada untuk mencari paya, kolam atau tempat yang lebih selesa dan baik untuk dirinya.

Jika seseorang itu asyik cuba mengatakan yang dia melakukan segalanya kerana bangsa, dan bukan kerana kepentingan diri sendiri, tentu ada yang tak kena. Selalunya, manusia yang melakukan sesuatu untuk dirinya atau membuat salah itulah yang lebih-lebih mencuba meyakinkan orang bahawa dia yang baik, ikhlas dan tidak mementing diri. Betul tak?