Selasa, Ogos 31, 2010

SIBUK MENYIBUK

Hari ini Bid, kakak dan Alang ikut Mak pergi membeli barang keperluan citarasa Mak. Adik-adik pun ikut juga kerana mereka mahu beli kasut raya.

Kalau ikutkan hati memang malas sebab terpaksa berasak-asak dengan orang di sana-sini. Tapi kerana kehendak Mak kita orang terpaksa ikut sajalah. Alang merungut-rungut sepanjangan saja kerana dia yang terakhir baik demam. Jadi dia yang terlebih letih.

Itulah yang sebenarnya berlaku. Tempuhari selepas selesai saja menghantar semua tempahan, hampir semua ahli keluarga demam.

Mulanya Along yang demam dan batuk. Mungkin Along yang membawa virus balik dari rumah sewanya. Lepas tu Bid dengan Mak pula mula batuk-batuk. Kemudian kita dah demam pula. Setelah itu seorang demi seorang ikut demam dan batuk-batuk.

Habis terganggu jadual asal untuk cuci-cuci rumah dan mengemas awal. Memang sudah begitu jadinya. Nampaknya cuti hari minggu yang akan datang ni terpaksalah ramai-ramai bergotong-royong bergegas menyelesaikan urusan mengemas dan membereskan hal-hal rumah.

Sabtu, Ogos 21, 2010

SELESAI BUAT BISKUT

Sekarang Bid, kakak dan Alang sudah boleh menarik nafas lega. Semua tempahan sudah dapat dipenuhi. Kita orang baru saja selesai membuat biskut-biskut yang ditempah itu.

Malam ini dan besok cuma nak labelkan saja dan menandakan mengikut tempahan. Minggu depan kita sudah boleh bekalkan kepada pembelinya.

Selepas ini kita orang tak perlu buat biskut raya lagi. Semua keperluan sendiri pun sudah disiapkan. Nanti cuma tinggal buat kek saja. Jadi tak adalah sibuk sangat nanti. Tinggal nak siap lemang dan rendang saja. Bestnyer! Hik3.

Rabu, Ogos 11, 2010

SELAMAT BERPUASA

Mulai hari ini kita sedang berada di bulan Ramadhan tyang mulia. Ini bulan untuk melakukan amal ibadah semaksima mungkin kerana ganjarannya amat baik. Marilah kita sama-sama menunaikan kewajipan sesuai dengan suruhan Allah SWT seperti ayat berikut:



Puasa memang diwajipkan kepada kita sepertimana diwajipkan kepada semua orang-orang terdahulu. Jangan mudah mengalah kepada nafsu. Imarahkan supaya kita diberkati.

Sabtu, Ogos 07, 2010

DUDUK MENGADAP DAPUR

Sudah beberapa hari kami adik beradik memasak biskut raya. Setakad hari ini baru 3,600 biskut telur rebus telah dibuat. Lambat juga sebab oven di rumah tak berapa besar. Itu pun ada dua oven sebenarnya.

Nampaknya lama juga la nak kena mengadap dapur untuk memenuhi tempahan yang diterima. Tambahan pulak Bid dan kakak terpaksa menerima tambahan 1000 biskut lagi seorang. Nak buat macam mana sebab yang membuat tempahan itu ialah bos sendiri.

Hari ini dan besok kita orang nak cuba buat biskut tart nenas sebanyak yang boleh. Kalau malam hari kerja tu tak boleh nak buat banyak biskut tart kerana kerjanya lece sikit.

Isnin, Ogos 02, 2010

LETIH JUGA NAK BUAT KUEH

Pada hari Sabtu semalam Bid, Alang dan kakak telah pergi ke Seremban untuk membeli semua barang-barang kelengkapan yang perlu bagi membuat biskut raya yang sudah ditempah orang tu. Letih juga pusing-pusing mencari bahan di kedai bahan-bahan kek serta juga membeli bekas untuk mengisi biskut tu.

Pada hari Ahad pula kami pergi ke pasar besar untuk membeli nenas untuk di buat jem. Ingat nak terus buat jem, tapi Mak kata gas cuma tinggal sedikit dan kami belum membeli gas baru bagi tong yang sudah kosong. Mak takut nanti kehabisan gas dan kami belum ada bekalan baru.

Tadi sewaktu nak turun kerja, kakak sudah pesan pada kedai pembekal gas. Harap-harap dia hantar bekalan tu ke rumah hari ini juga.

Jika semuanya berjalan dengan baik, malam ini kami bercadang nak buat jem tu. Kenalah mula awal sebab nanti lama juga nak buat jem sampai betul-betul masak dengan baik dan sesuai.