Ahad, Oktober 31, 2010

BUAT BISKUT SAMPAI TENGAH MALAM

Hari ini Bid, kakak dan Alang memang bercadang nak mula kerja membuat biskut awal.  Tetapi ada saudara dari Melaka pula datang.  Seawal pukul 9.50 pagi mereka sudah pun sampai.  Yalah mereka bertolak dari rumah pada pukul 9 pagi.  Bukannya jauh sangat Melaka dengan Negri Sembilan.

Memang sudah lama mereka tak datang.  Sebenarnya mereka nak pergi ke Bangi kerana ada majlis kenduri kahwin di rumah besan mereka pada hari Ahad.  Jadi mereka singgah di rumah dulu.  Selepas Asar baru mereka meneruskan perjalanan untuk bermalam di rumah salah seorang anak saudara dekat Nilai.

Jadi selepas Isyak malam ini barulah kita orang mula buat biskut.  Itu yang sampai ke tengah malam.  Target nak habiskan membuat biskut memang tak kesampaian.

Esok harap-harap tidak ada halangan lagi.  Jika dapat habiskan membuat biskut, minggu depan sudah boleh menghantar semua pesanan.  Cepat sikit dapat duitnya!  Hehe.

Ahad, Oktober 24, 2010

IKUT RENTAK MAK

Setakad sekarang ini Bid, kakak dan Alang baru buat lebih kurang 8,000 biji biskut.  Mula ingat nak buat hingga ke petang nanti.  Tapi Mak dah mula berang mengajak pergi memenuhi jemputan kenduri sambil menziarahi saudara di Seremban.  Jadi terpaksalah ikut rentak Mak saja.  Jika tidak lain pula jadinya nanti.

Sekarang tengah menunggu Angah.  Janjinya 2.30 petang dia akan sampai.  Jadi Bid boleh la masuk laman sekejap.  Hehe.

Sebenarnya ada banyak lagi biskut yang mesti dibuat kerana jumlah semuanya adalah 23,500 keping iaitu 235 tempahan.  Nampaknya pada hari minggu yang akan datang kena bersengkang mata la pulak.

Harap-harap juga Mak akan memegang pada janjinya.  Mak janji bahawa minggu depan kita boleh meneruskan urusan memenuhi tempahan.  Kalau nak keluar pun, Mak janji tak akan ganggu kita.

Sabtu, Oktober 16, 2010

TUTUP TEMPAHAN

Rupanya ramai orang yang nak buat tempahan membeli bikut untuk Hari Raya Haji ini.  Tak sangka pula tempahan melebihi raya puasa tempuhari.

Walaupun mulanya kami hanya mahu menerima tempahan untuk sekitar 10,000 biji = 100 tempahan, kami terpaksa mengalah dengan rayuan ramai lagi yang mahu membeli.  Akhirnya kami terpaksa juga terima tempahan yang dua kali ganda banyaknya.

Hari ini Bid dan Alang akan pergi membeli segala barang keperluan.  Ikut rancangan, besok kami dah nak mula membuat biskut yang ditempah.

Isnin, Oktober 11, 2010

REZEKI DATANG LAGI

Sejak semalam, Bid, kakak dan Alang dah mula menerima tempahan untuk buat biskut Raya Haji.  Kita orang dah bersetuju untuk membuat biskut ini dengan kenaikan harga RM2 bagi setiap jenis biskut.

Nampaknya para pelanggan yang membeli untuk Raya Aidilfirti dulu puas hati.  Walaupun dinaikkan harga, ramai yang telah menempah semula.  Mereka dapat terima alasan bahawa dulu kami salah budget untuk mentega dan bekas pelastik yang telah naik harga.

Lagi pula tawaran harga kami ialah untuk 100 biji setiap satu pesanan.  Kira-kira harga kami jauh lebih murah jika mereka bandingkan dengan jualan di pasaran.

Tempahan baru saja mula diterima semalam.  Setakad sekarang sudah ada tempahan untuk sebanyak 5,800 biji biskut.  Kami bertiga bersetuju menerima tempahan hingga sekitar 10,000 biji.  Jika sampai ke angka ini, alhamdulillah. :)

Selasa, Oktober 05, 2010

RUGI BISING PULA

Sejak dari hari Ahad Mak bising memanjang lagi. Memang semua dah tahu perkara ini akan berlaku. Tetapi nak buat macam mana sebab Mak tak hendak dengar buah fikiran dan pandangan anak-anak langsung.

Ini cerita ekoran dari Mak mengambil tempahan membuat lemang Raya dulu itu la. Benar seperti yang kami adik-beradik cuba membuat Mak faham bahawa kerja itu tidak akan berbaloi.

Sekarang setelah mengalami kerugian, Mak marah habis semua orang termasuk kami adik-beradik. Nak cakap apa pun tak boleh. Kami hanya dapat mencari saluran lain untuk menghilangkan rasa kecewa.

Tak pasal-pasal Mak suruh Bid dengan Alang pula membayar duit harga buluh itu. Aduhhh!

Jumaat, Oktober 01, 2010

KENDURI RAYA

Esok di kampung Bid akan diadakan kenduri Raya. Ini idea ketua kampung untuk memberi peluang kepada semua penduduk beramah-mesra sesama mereka.

Bagus juga kali ini tiada kutipan wang dibuat. Sebaliknya ketua kampung menggunakan wang keraian dari wakil rakyat yang memang khusus untuk tujuan seperti ini.

Walaupun begitu, penduduk di minta bergotong royong menyediakan makanan. Jadi malam ini nanti ada acara membakar lemang dan membuat rendang. Mak dah pesan supaya kami adik beradik balik kerja awal supaya dapat membantu.

Pagi hari ini Bid bertolak datang kerja awal supaya Bos tak bising bila balik awal sedikit nanti. Dah sampai awal, Bid menghadap komputer la dulu. Hehe.