Ahad, Jun 27, 2010

'KURSUS' MASAK

Semalam dan hari ini Bid dan kakak ikut seorang kawan pergi melihat demonstarasi masakan di dewan orang ramai. Kata penganjurnya ini adalah aktiviti kemasyarakatan bagi memupuk semangat kejiranan.

Masa sessi semalam mereka menunjukkan cara-cara untuk memastikan masakan kita mempunyai zat makanan di tahap maksima. Rupanya lebih baik untuk kita membasuh bersih-bersih dahulu segala sayuran sebelum dipotong dan dimasak. Selama yang tahu semua orang dah potong semua dulu barulah dibasuh.

Hari ini mereka menunjukkan cara-cara memasak daging masak merah pulak. Kata mereka, kalau anak Negri Sembilan pun tak semestinya hari-hari makan masak lemak. Semua orang menyambut dengan hilai ketawa.

Sedap juga daging masak merah ni. Sayangnya Bid dan kakak tidak pula membawa kamera.

Semua orang dapat merasainya, tetapi tak ada pula untuk dijual. Siapa nak makan lebih kenalah masak sendiri.

Khamis, Jun 24, 2010

HOBI MENGINTAI

Bid rasa geli hati pun ada juga membaca berita di muka depan Harian Metro hari ini. Padahal cerita yang dipaparkan adalah berita serius mengenai seorang bapa beranak lima yang sudah berumur lebih 4oan tahun yang suka mengintai anak dara. Beliau telah tertangkap basah dan dihadapkan ke mahkamah.

Di kampung Bid ada juga lelaki jenis ini. Mereka suka mengintai orang mandi pada waktu sekitar Maghrib dan Subuh. Maklum saja rumah-rumah di Rancangan Felda bilik airnya kebanyakannya adalah ruang asing di hujung dapur. Kebanyakan bilik air dikepungi oleh zink serta tidak berbumbung. Kalau dibina konkrete pun separa pinggang saja.

Keadaan demikian seperti memudahkan pengintip melaksanakan hobi mereka. Oleh sebab itu ada juga keluarga yang memastikan ada seorang ahli keluarga lain yang duduk berdekatan dengan bilik air semasa salah seorang anak perempuan sedang mandi.

Ramai orang juga tahu siapa mereka yang suka mengintip. Tetapi kebanyakan penduduk tidak suka mencari pasal. Ramai yakin jika masing-masing pandai menjaga diri dan mengambil langkah-langkah yang perlu, pengintai itu tidak akan memudaratkan sesiapa, dan lama-lama mereka akan jemu sendiri.

Ahad, Jun 20, 2010

SELAMAT HARI BAPA

Bid nak ucapkan 'Selamat Hari Bapa' kepada semua bapa seluruh Malaysia. Semoga dicucuri rahmat dan keberkatan, semoga anak-anak membuat bapa-bapa semua bahagia.

Diwaktu yang sama Bid juga berdoa semoga anak-anak semua insaf dan menunjukkan kasih sayang dan ambil peduli tentang kesihatan dan perasaan ibu bapa masing-masing. Apabila mereka sudah tiada kita akan terasa betapa kita selalu mengabaikan mereka.

Ayah Bid sudah lama meninggal. Bid sentiasa berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat.

Sabtu, Jun 19, 2010

TUKAR GAMBAR PULAK

Sebenarnya dah banyak hari juga Bid duduk fikir nak tukar gambar dalam profil. Cari-cari gambar yang besar yang cantik sikit tak ada pulak. Dah letih, Bid pilih gambar ini dan potonglah. Hehe.

Nanti jika Bid jumpa gambar Bid yang lebih baik, mungkin Bid ganti lagi. Ataupun bila-bila Bid ambil gambar baru yang lebih elok, boleh jugak guna gambar tu nanti.

Hari ini Bid sekeluarga nak turun Seremban untuk pergi rumah Mak Ngah. Mak Ngah jemput datang untuk majlis doa selamat sempena anak bongsunya sudah dapat kerja. Tapi Mak Ngah juga minta datang awal untuk bantu buat rendang.

Isnin, Jun 14, 2010

BID TUKAR TEMPLATE

Sebenarnya masa di ofis tadi Bid dah masuk untuk tukar 'template' baru. Tapi tak dapat pula lama sebab banyak kerja. Tambahan pula Bid dah cuti tiga hari di akhir hujung minggu lepas.

Bila malam ni dapat guna laptop di rumah, Bid pun layanlah untuk tukar rupa wajah blog ni. Mulanya Bid nak kekalkan kombinasi warna lama, tapi tak ada yang betul menepati. Tetapi memang banyak pula pilihan lain. Jadi dah la pulak rambang mata! Hehe.

Akhirnya inilah hasilnya selepas membuatnya hampir dua jam. Nanti, kalau rasa tak berapa berkenan pula, Bid akan cuba ubahlah di mana yang patut.