Isnin, Disember 27, 2010

MELAYU TAK TENTU ISLAM

Semalam kawan sekolah Bid datang ke rumah.  Secara bersembunyi-sembunyi dia ajak Bid dan Alang pergi bekerja ke Kuala Lumpur bersamanya.  Katanya kita orang semua tidak mempunyai ijazah tinggi.  Jadi sukar untuk maju dan mendapat jawatan tinggi dengan pendapatan yang tinggi.

Kalau melihat ketrampilannya memang nampak dia mendapat kedudukan yang baik.  Di umur sebaya Bid dia sudah mampu membeli kereta sendiri.  Bid belum berangan pun lagi.

Bila dibawa berbincang dengan kakak sebelah malamnya barulah tahu cerita disebalik kisahnya.  Rupanya dia bekerja sebagai GRO di sebuah kelab di Bricksfield, Kuala Lumpur.

Kakak sudah tahu cara hidupnya kerana telah terserempak dia bersama lelaki lain-lain.  Kakak nasihatkan kami supaya lebih berwaspada.

"Ada Melayu yang sanggup buat apa saja kerana wang dan untuk kemewahan ... Sekarang Melayu pun belum tentu mengikut hukum Islam."  Demikian kata kakak.

Rabu, Disember 15, 2010

PENDAPATAN TAMBAHAN

Bid agak sibuk sekarang sebab Bid membantu perniagaan kecilan keluarga secara sambilan.  Sebenarnya, bukan sangat perniagaan, tapi lebih sebagai mengambil upah memenuhi permintaan.

Mak, Alang, kakak dan Bid telah bersetuju untuk membekalkan karipap dan murtabak mini kepada pembekal secara kontrak selama 1 tahun.  Kuantitinya lumayan jugalah iaitu sebanyak 500 biji sehari bagi tiap satu jenis.

Bagi karipap upahnya adalah 15 sen sebiji dan untuk murtabak pula ialah 45 sen sebiji.  Jadi pendapatannya adalah RM 300 sehari.  Walaupun, Mak tidak banyak membantu, kami bersetuju membahagikannya sama rata iaitu RM 75 seorang.  Lumayan juga kan?

Jika semuanya berjalan lancar, sekurang-kurangnya untuk setahun ini adalah pendapatan tambahan.  Biarpun meletihkan, tapi amat berbaloi.

Selasa, Disember 07, 2010

TAHUN BARU HIJRAH

SELAMAT MEYAMBUT
TAHUN BARU 1432H

Salam Maal Hijrah untuk semua. Sama-samalah kita meraikan kedatangan tahun baru Hijrah dengan terbaik mungkin.  Marilah kita sama-sama mencari keredhaan Allah SWT.

Selagi usia masih di sisi, peluang terbuka luas untuk kita semua perbaiki diri.  Semoga tahun ini akan memberi rahmat yang jauh lebih baik dari sebelumnya. Amin.

Sabtu, November 27, 2010

TAK JADI TONTON 2 ALAM

Sebenarnya Bid, kakak dan Alang telah pun berjanji nak pergi menonton wayang bersama dengan dua kawan sekampungpadi hari minggu ini.  Tapi bila tiba harinya hanya Bid saja yang mahu meneruskan rancangan awal itu.  Jadi Bid kena akur dengan suara majoriti la! :(

Namun begitu selepas bercerita sesama sendiri, mungkin ini adalah keputusan yang baik.  Rata-rata mereka yang membuat komen  mengenai filem ini mengatakan ia adalah sebuah filem dengan cerita yang amat mengecewakan.

Mungkin gahnya sebelum ini adalah sekadar mahu propa supaya orang pergi menonton.  Bid rasa tentu komen negatif yang ada akan memberi impak sebaliknya.

Mungkin juga penerbitnya yang popular dengan diet untuk kuruskan badan itu sasarkan pelanggan produknya.  Kalau semua pelanggan pergi menonton filem ini, tentulah pecah panggung.  Rupanya tak menjadi realiti.

Rabu, November 17, 2010

SELAMAT HARI RAYA KORBAN

SEKALI  KALI  BERGEMA DI MANA-MANA
UMAT SEMUA BERTAKBIR RAYA
SEMPENA HAJI KITA BERKORBAN PULA
MENYUSUN JARI MAAF JUA DIMINTA

Semoga kita semua akan sentiasa dirahmati dengan keredhaan dan nikmat Allah SWT.  Amin.